Sunday, December 29, 2013

Cara Kukuasai Bahasa Inggeris [Sebuah Kisah Benar]

Resepi Kejayaan:

                 1.            Menguasai tatabahasa Inggeris.
                 2.            Ulang baca.
                 3.            Tekun dan tidak segan bertanya guru.
                 4.            Berkorban masa.
                 5.            Hubungi guru Bahasa Inggeris.
                 6.            Tidak mudah berputus asa.
                 7.            Meminjam buku.
                 8.            Mencatat soalan pada kertas.
                 9.            Mencatat jawapan yang diperoleh.
            10.            Mencatat nota di dalam buku
            11.            Meningkatkan kosa kata Inggeris.
            12.            Memanfaatkan teknologi.
            13.            Menghafal frasa-frasa Inggeris.
            14.            Menonton filem dan drama Melayu dengan sari kata Inggeris.
            15.            Menonton filem Inggeris dengan sari kata Inggeris.
            16.            Membaca novel Inggeris.
            17.            Membaca akhbar Inggeris.
            18.            Praktik bertutur menggunakan bahasa Inggeris.



MENGUASAI TATABAHASA INGGERIS

Ternyata, cara ini sangat membantu! Pembinaan ayat yang betul dan membawa maksud yang tepat sebenarnya banyak bergantung pada tahap penguasaan tatabahasa Inggeris seseorang individu.

Aku sudah mula ‘berjinak’ dengan bahasa Inggeris (BI) sejak berada di tingkatan tiga lagi. Dengan taufik Yang Maha Kuasa, alhamdulillah, buku ‘Tatabahasa Inggeris’ berkulit hijau tua terbitan 1985 yang pernah kubaca berjaya mencetus semangatku untuk terus beristiqamah mendalami bahasa dunia ini.

Setiap topik dan sub-topik yang terkandung dalam isi kandungan buku kecil itu dijelaskan secara terperinci oleh penulisnya dalam bahasa Melayu. Hal ini memudahkan pembaca sepertiku untuk memperoleh fahaman yang lebih baik. Bermula dengan buku inilah, aku dapat memahami Tenses dan Modal Verbs.

Walau bagaimanapun, sekiranya ditanya mengenai buku rujukan tatabahasa Inggeris terbaik, aku cadangkan buku ‘Understanding and Using English Grammar’ tulisan Betty Schrampfer Azar dan 'Towards Better English Grammar' oleh Hyacinth Gaudart. Harganya barangkali agak mahal namun masih bawah RM100. Dek kualitinya yang begitu bagus, buku-buku tersebut amatlah berbaloi untuk dimiliki. Kata orang Inggeris, it’s worth every penny!


ULANG BACA

Topik yang kelihatan remeh berkemungkinan paling sukar untuk difahami. Percaya atau tidak, Definite Article-the ialah sub-topik yang mengambil masa beberapa tahun untuk kumemahaminya. Oleh sebab itulah sesetengah topik mesti diulang baca.

Pernah terjadi pada diriku suatu ketika dahulu. Bayangkan, aku hanya mula memahami suatu sub-topik setelah acapkali membacanya! Sebagai manusia biasa, kadang-kadang, kita mungkin terlepas pandang. 


TEKUN & TIDAK SEGAN BERTANYA GURU

Tidak cukup dengan buku-buku rujukan, aku rajinkan diri untuk bertanya pada guru-guru BIku di sekolah. Aku buang jauh-jauh perasaan segan dan malu kerana kutahu, ‘malu bertanya, sesat jalan’. Setuju?


BERKORBAN MASA

Pernah aku korbankan waktu rehatku selama 20 minit demi ilmu. Ada kalanya, aku terpaksa ‘mencuri’ masa untuk bertemu dengan guru BIku, terutamanya ketika waktu ketiadaan guru di dalam kelas atau waktu tamat persekolahan. Pernah juga aku bertanya ketika sesi pembelajaran BI, ketika membuat latihan yang disuruh.


HUBUNGI GURU BI

Bukan niat untuk mengganggu rumah tangga orang. Aku pernah beberapa kali menghubungi guru BIku pada sebelah malam untuk bertanya. Maklumlah, masa yang agak singkat ketika di sekolah kerap juga menghalang usaha murniku ini.


TIDAK MUDAH BERPUTUS ASA

Kata orang, guru BI kebanyakannya garang. Guru BIku, Puan Sabariah Abdul Mubin memang cukup garang orangnya. Oleh kerana impianku mahu berjaya, kena marah tu biasalah, kerana aku ini agak lembab sedikit orangnya. Sering juga aku pergi bertanya guru-guru BIku. Setiap kali bertanya, alhamdulillah, penjelasan diberi banyak membantuku menguasai BI dengan lebih cepat.


MEMINJAM BUKU

Di samping itu, aku juga pernah meminjam buku-buku tatabahasa Inggeris di perpustakaan sekolah. Boleh dikatakan hampir semua buku tatabahasa Inggeris yang disusun di atas rak di dalam pusat ilmu tersebut sudah aku baca pada masa itu.

Sejujurnya, aku pernah ‘mencuri’ sebuah buku rujukan tatabahasa Inggeris baru di situ tanpa kebenaran. Mana tidak nya, buku itu belum pun dilekatkan nombor kodnya. Belum pun disusun di atas rak. Disebabkan sikapku yang kurang penyabar orangnya, aku terus ‘kebas’ sehari untuk dibaca.


MENCATAT SOALAN PADA KERTAS

Saban hari, pelbagai soalan timbul di fikiranku. Dan setiap kali soalan tersebut timbul, aku akan catat pada sehelai kertas. Dan keesokan harinya, aku akan berjumpa dengan guru BIku untuk mendapatkan jawapan atau penjelasan terperinci. Itulah juga nasihat guru BIku, Puan Zabidah Tengah kepadaku suatu ketika dahulu kerana aku pernah terlupa soalan-soalan yang mahu ditanya ketika berjumpa dengannya.


MENCATAT JAWAPAN YANG DIPEROLEH

Setiap kali penjelasan diberi, aku akan segera mencatat pada kertas soalan yang kubawa tadi seringkas mungkin, asalkan kufaham ejaan dan isinya. Hal ini penting agar jawapan atau penjelasan yang diperoleh tidak mudah dilupa. Kata Tun Mahathir Mohamad, Melayu mudah lupa. 

Ketika berada di tingkatan 4, aku merupakan pelajar harian dan menaiki van untuk berulang alik ke sekolah. Ketika berada di dalam van dalam perjalanan pulang ke rumah, aku manfaatkan masa dengan melihat kembali nota ringkas yang dicatat tadi. Dek minat yang mendalam mungkin, Allah permudahkanku untuk mengingat apa jua yang kupelajari. Syukur alhamdulillah.

MENCATAT NOTA DI DALAM BUKU

Ketika di rumah pula, aku akan mengarang persis penulis novel. Lebih tepat lagi, mencatat kembali ‘ilmu-ilmu yang segar’ tadi di dalam sebuah buku log panjang yang kujadikan sebagai buku nota tatabahasa Inggerisku.

Di samping itu, aku pastikan nota ditulis dengan kemas dan mudah dibaca. Manakala perkataan-perkataan yang penting digariskan dengan pensel warna. Begitu juga dengan bullets yang dibuat. Dengan ini, notaku nampak lebih ceria dan tidaklah membosankan apabila ingin dibaca kembali kelak.


MENINGKATKAN KOSA KATA INGGERIS

Kamus kuanggap umpama seorang rakan karib. Kamus BI-BM pilihanku ialah Advanced English Dictionary (English-Bahasa Malaysia Edition) yang kulitnya berwarna merah. Aku guna kamus sampai hancur lebur! Hancur lebur disebabkan oleh sikapku yang seringkali membelek kamus tersebut untuk mencari definisi sepatah perkataan. Oh ya, sekiranya anda sedang mencari sebuah kamus BI-BI terbaik, cubalah Oxford Advanced Learner’s Dictionary.


Mengapa perlukan kamus?

“Jika ingin menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris, tanpa kamus di sisi, umpama mengayuh sebuah basikal tanpa roda. Bagaimana mahu bergerak?”


MEMANFAATKAN TEKNOLOGI

Kamus Oxford atas talian boleh dicapai dan diguna secara percuma! Apa yang perlu, google saja! Itu salah satu kaedah yang biasa aku gunakan apabila melayari Internet.

Kini, segalanya hanya di hujung jari anda, bukan? Cuma klik pada link berikut: http://www.oxfordadvancedlearnersdictionary.com/ . Mudah bukan! Bukan sahaja kita dapat mencari definisi perkataan, bahkan turut dapat mendengar secara langsung sebutan betul perkataan yang dicari sama ada mengikut sebutan Bahasa Inggeris Britain ataupun Amerika.


MENGHAFAL FRASA-FRASA INGGERIS

Banyak frasa Inggeris yang kuhafal. Faktornya, tidak semua ayat bahasa Melayu boleh diterjemah ke dalam BI sewenang-wenangnya. Mengambil frasa ‘suka hati awaklah’ sebagai contoh, takkanlah nak diterjemah ‘like your heart’ pula kan? Sepatutnya, ‘suit yourself’.


BAGAIMANA INGIN MENCARI FRASA-FRASA INGGERIS?


(1)    MENONTON FILEM & DRAMA MELAYU DENGAN SARI KATA INGGERIS

Aku gemar menonton filem dan drama Melayu yang disediakan sari kata Inggeris. Dengan ini, aku dapat bandingkan ayat Melayu yang dituturkan oleh pelakon dengan terjemahannya. Masalahnya, tidak semua terjemahan yang diberi adalah tepat. L

(2)    MENONTON FILEM INGGERIS DENGAN SARI KATA INGGERIS

Bunyinya mungkin aneh. Akan tetapi, aku lebih gemar menonton filem Inggeris di mana sari kata Inggeris disediakan. Selain mendengar sebutan perkataan-perkataan Inggeris yang dituturkan, frasa-frasa Inggeris juga dapat dipelajari. Hal ini kerana, terdapat banyak frasa Inggeris yang dituturkan oleh para pelakon. Kenapa tidak kita manfaatkan peluang keemasan ini daripada hanya menonton filem tersebut di mana akhirnya hiburan sahaja yang diperoleh setelah sejam atau dua jam menonton? Fikirkan sejenak.


(3)    MEMBACA NOVEL INGGERIS

Ulat buku sepertiku lebih selesa membaca bahan bacaan dalam BM berbanding BI. Ironinya, beberapa tahun yang lepas, aku cabar diri membeli sebuah novel Inggeris. Novel ‘Confessions of a Shopaholic’ tulisan sepenuhnya Sophie Kinsella menjadi 'taruhan' pertama.

Setelah membaca satu, dua bab pertama, aku mula berasa agak bosan kerana sukar untuk memahami plot penceritaanya. Tetapi, aku tabah dan konsisten. Aku teruskan pembacaanku ke bab-bab seterusnya.

Alhamdulillah, Allah Taala permudahkan segalanya. Minatku bertambah kerana sedikit demi sedikit, aku mula memahami gaya penulisan Inggeris. Di dalam sebuah novel Inggeris yang tebal itu, aku dapati, mengandungi puluhan dan mungkin juga ratusan frasa-frasa Inggeris.

Untuk memahami makna frasa-frasa yang baru ditemui, aku menjadikan kamus sehebat Oxford Advanced Learner’s Dictionary sebagai sumber rujukan utama selain Internet. Bak pepatah Melayu, 'sambil menyelam minum air'. Bukan sahaja frasa Inggeris yang kupelajari, malah kemahiran penulisan turut sama diasah dan digilap. Bukankah membaca itu satu kaedah untuk memperbaiki kemahiran menulis seseorang individu?


NOVEL APA YANG BAGUS?

Oh ya, sekiranya anda tercari-cari novel Inggeris yang bagus, aku cadangkan novel-novel tulisan Sophie Kinsella. Penulisannya lebih mudah untuk kufahami dan diselit bersama lawak jenaka yang kadang-kala di luar jangkaan pembaca.

Protagonis atau watak utama yang dihidupkan oleh penulis berbangsa Inggeris ini lazimnya memiliki karakter yang agak lucu. Penulisannya amat diminati oleh jutaan pencinta novel Inggeris hari ini, layaklah novel-novel beliau dilabel ‘best-selling’. Mana taknya, filem meletup ‘Confessions of a Shopaholic’ juga merupakan hasil adaptasi dari novel hebat beliau!

Selain Sophie Kinsella, tulisan Jeff Kinney pula tidak kurang juga hebatnya. Penulis novel bersiri ‘Diary of a Wimpy Kid’ ini berjaya menghidupkan watak utamanya, Gregory dengan cemerlang sekali. Tidak hairanlah, novel ini pernah diangkat menjadi beberapa buah filem terbitan United States dengan judul filem yang sama.


MEMBACA AKHBAR INGGERIS

Memandangkan akhbar Inggeris seperti The Star, Malay Mail dan New Straits Time boleh dibaca secara atas talian, mengapa tidak anda manfaatkannya? Membaca akhbar Inggeris banyak juga membantuku memperoleh istilah-istilah tertentu yang mungkin sukar untuk diperoleh menerusi sebuah kamus.

Misalnya, aku sendiri tidak tahu apa ‘Majlis Penyampaian Hadiah’ dalam BI sehinggalah aku temuinya di dalam sebuah akhbar Inggeris. Menakjubkan, bukan?


PRAKTIK BERTUTUR MENGGUNAKAN BI

Bercakap menggunakan BI secara spontan atau di dalam hati. Monolog pun okey. Inilah sebahagian daripada pendekatan yang kugunakan untuk memantapkan pertuturanku. Sekiranya ingin fasih berbahasa Inggeris, berkomunikasi dalam BI merupakan satu kewajipan!

Faktor masyarakat rata-rata berbangsa Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, maka peluangku untuk bertutur dalam bahasa antarabangsa ini saban hari amatlah nipis. Oleh sebab itu, aku lebih gemar berfikir dan kadang-kadang mengeluh dalam BI.

Bonus untuk diriku kerana apabila ketika mengajar ataupun berinteraksi dengan para pelajarku, BI lebih kerap digunakan, diiringi Bahasa Kebangsaan. Sekurang-kurangnya, dengan cara ini, aku mampu bertutur dalam BI dengan lebih fasih dan lancar. Tetapi, jangan pula sampai pinggirkan bahasa ibunda sendiri! 


Konklusinya, usaha tangga kejayaan. Kegigihan dan penat lelahku selama ini kini terbayar. Hari ini, aku mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang kukecapi. Anda pula bagaimana?


PS: Tiba-tiba, aku rasa ingin menulis sebuah buku pula. Komenku, “Tiada apa yang mustahil dengan izin-Nya!”












2 comments:

  1. Saya belajar BI dengan cara ulang balik sarikata dalam TV. Lama lama pandai juga. Sekarang saya dah boleh speaking walaupun cuma bahasa pasar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga maju jaya! Keep speaking because that is the only way to get better.

      Delete